1. Istana Bukit Tanah
Istana Bukit Tanah |
Pada amnya tapak istana ini agak rendah dan dipercayai telah ditimbun dengan tanah supaya kelihatan lebih tinggi. Pemandangkan kedudukan yang tinggi seolah-olah sebuah bukit, maka istana ini telah terkenal dengan jolokan Istana Bukit Tanah. Keluasan tapak istana ini hampir mencecah 3 ekar dan kawasannya dikelilingi oleh pokok-pokok besar yang mana ada di antara pokok-pokok tersebut telah mencecah usia lebih dari 30 tahun.
Dahulunya Istana Bukit Tanah terkenal dengan kewujudan sebatang pokok iaitu Pokok Kelumpang. Pokok ini dikatakan tersangat tinggi sehingga boleh dilihat dari pesisiran pantai Laut Cina Selatan. Walau bagaimanapun, pokok ini telah tumbang dimakan usia.
2. Masjid Kampung Laut
Masjid Kampung |
Merupakan sebuah masjid yang unik dan menarik dari segi pembinaannya. Keistimewaan masjid ini adalah struktur binaannya diperbuat daripada kayu dan tidak menggunakan paku dimana ianya hanya dipasak. Bangunannya masih lagi kekal dan utuh untuk digunakan sebagai tempat beribadat. Kini Masjid ini terletak di Nilam Puri dimana ianya telah dipindahkan pada tahun 1965 dari tapak asal kerana didapati tapak asalnya telah berada di dalam Sungai Kelantan.
Masjid Kampung Laut merupakan sebuah masjid tertua yang masih wujud di Kelantan dan di antara yang tertua di Nusantara. Masjid ini dikatakan dibina dalam abad yang ke-18 oleh pengembang Islam yang berulang-alik antara Champa dan Jawa dengan bantuan penduduk tempatan. Tapak asal masjid ini terletak di Kampung Laut, Tumpat di pinggir Sungai Kelantan.
Sehingga 1966, masjid ini digunakan sebagai tempat beribadat yang utama oleh penduduk di sekitar Kampung Laut. Akan tetapi masjid ini rosak akibat banjir yang melanda Negeri Kelantan pada penghujung tahun 1966 dan awal tahun 1967. Kerajaan Negeri telah menutup masjid tersebut dan membina sebuah masjid yang baru di tempat yang lebih selamat. Pada November 1967, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia di Muzium Negara telah merombak bangunan Masjid Kampung Laut dan membina semula di tapak barunya di Nilam Puri mengikut bentuk yang asalnya serta menggunakan semua bahan yang lama seberapa yang boleh. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian ruang utama masjid sahaja yang dapat didirikan semula.
Menyedari keadaan ini satu jawatankuasa pengelola masjid telah dibentuk untuk membaikpulih, mengelola, menjaga dan memelihara masjid lama itu supaya rekabentuk dan binaan asalnya dapat dikekalkan.
3. Makam Tok Janggut
Makam Tok Janggut |
Peta Makam Tok Janggut |
Tok Janggut @ Haji Mat Hassan bin Munas dilahirkan pada tahun 1853, seorang pahlawan melayu yang menentang campurtangan British di Negeri Kelantan pada tahun 1909. Pertempuran pada 24 Mei 1915, Tok Janggut terbunuh dan jenazah beliau dibawa dan dikebumikan berhampiran Sungai Kelantan yang kini dikenali sebagai Kampung Tok Janggut, Pasir Pekan.
Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
Kekacauan timbul di Jeram, Pasir Puteh pada 29 April 1915 dikenali dengan "musuh Tok Janggut". Engku Besar tidak lagi berkuasa kerana diambil alih oleh Pegawai Jajahan yang dilantik oleh British. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Encik Latiff, Pegawai Jajahan yang baru adalah "orang luar" menjalankan tugasnya dengan tegas khususnya di dalam hal kutipan cukai.
Engku Besar membuat perundingan dengan Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dimana keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan British dicapai. Tok Janggut bersama-sama rakan-rakannya mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Tok janggut. Pergaduhan kecil berlaku di mana Sarjan Che Wan telah terbunuh. Arahan menangkap Tok Janggut dibuat oleh Encik Latiff. Tok Janggut kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu.
Perintah menangkap Tok Janggut dikeluarkan. Bantuan tentera dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu tiba, dan pada 6 Mei 1915 berlepas ke Pasir Puteh. Serangan ke atas Tok Janggut dilancarkan pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Di Kampung Pupuh lah Tok Janggut terbunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu. Setelah digantung beberapa hari, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayatnya dikebumikan di Pasir Pekan.
4. Suluk Tok Selehor
Suluk Tok Selehor |
Tok Selehor seorang yang zuhud dan warak, beliau bimbang hatinya menjadi angkuh dan riak. Oleh itu, beliau membuat suatu lubang khas di antara perkuburan Kampung Selehor (berhampiran madrasah) untuk tempat "SULUK" agar beliau sentiasa ingatkan mati. Tempat tersebut masih kekal hingga ke hari ini.
Kini madrasah yang pernah beliau jadikan tempat mengajar ini telah dinaikkan taraf menjadi masjid dan kini dikenali dengan nama Masjid Tok Selehor.
5. Rumah Api Isyarat
Rumah Api Isyarat |
Salah satu rumah api yang terawal yang dapat dikenalpasti ialah rumah api yang dibina ditepi pantai bersebelahan dengan jeti. Walau bagaimanapun, rumah api tersebut telah tiada lagi dan tempat tersebut kini dikenali dengan nama Padang Mahkota berdekatan dengan kawasan rumah Ketua Jajahan Tumpat.
Rumah api ini di bina dengan kayu setinggi lebih kurang 30 kaki bentuknya empat persegi dan meruncing ke atas. Di bahagian atasnya di buat perlantaian bagi menempatkan lampu.
Satu lagi rumah api yang di temui ialah yang kini terletak dalam kawasan stor K.T.M. Rumah api ini dibina daripada batu-bata, berbentuk bulat dan tirus ke atas. Ukuran lilit bahagian bawahnya 37' 9" dan tingginya 70 kaki. Tangga dibina di bahagian dalam rumah api ini bagi membolehkan seseorang naik ke atas untuk memasang dan memadam lampu.
Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, rumah api ini dibina sebelum Perang Dunia ke-2 oleh pasukan marine bagi mengawasi perairan Tumpat.
Semasa Peperangan Dunia Kedua (1941-1945) negeri Kelantan yang di bawah pentadbiran tentera Jepun telah menggunakan rumah api ini untuk mengawasi kawasan perairan dari ancaman musuh dan memudahkan kapal-kapal tenteranya membuat rondaan di laut.
Kini dengan kemajuan teknologi yang canggih dalam bidang pelayaran, rumah api tidak lagi digunakan. Ia hanya tinggal menjadi bahan sejarah untuk tontonan umum kini dan akan datang.
6. Jambatan Bijih Jubakar Pantai
Jambatan Bijih Jubakar Pantai |
Jambatan bijih besi terletak berhampiran pantai di Kampung Jubakar dalam Jajahan Tumpat, Kelantan. Jambatan ini dibina oleh pihak British sejak zaman sebelum perang. Tujuannya adalah bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan bijih besi dari darat ke kapal pengangkut.
Bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu "Oriental Mining Co.", di kawasan Bukit Besi, Temangan, Kelantan. Di sini bijih besi diangkut dengan menggunakan keretapi ke Pelabuhan Tumpat. Bijih besi tersebut akan dimasukkan ke dalam satu bekas khas di mana ianya akan diangkut pula ke kapal melalui jeti yang dibina . Dari kapal kecil ini, bijih besi tersebut akan dibawa ke kapal induk untuk dieksport ke negara Jepun.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) pengeluaran bijih besi terus dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun dan lombong di suatu kawasan yang sekarang ini terdirinya Sekolah Kebangsaan Temangan
Selepas Peperangan Dunia Kedua, pengeluaran bijih besi masih diteruskan dilakukan oleh syarikat yang sama tetapi kini ianya di bawah pengawasan pemerintah British. Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 di mana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.
Sejak itu, Jambatan Bijih ini telah tidak berfungsi lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.
No comments:
Post a Comment