KOTA BHARU - Lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina oleh Barisan Nasional (BN) di negeri ini sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, dianggarkan lebih 30,000 rakyat Kelantan terutama mereka yang tinggal di kawasan Kota Bharu tidak mampu mempunyai rumah sendiri kerana harga tanah dan rumah begitu mahal.
Katanya, tambahan pula sekarang, kebanyakan projek perumahan di Kelantan dikendalikan pihak swasta dan harganya mencecah ratusan ribu ringgit, sedangkan rata-rata penduduk di daerah ini hanya berpendapatan rendah.
"Di bawah pemerintahan BN, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh kerajaan dengan harga yang lebih sesuai serta diberikan subsidi bagi mengurangkan harga," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang dan Pegawai Pelajaran daerah, Che Ab. Aziz Daud.
Sebanyak 164 pelajar cemerlang STPM dari 11 buah sekolah menerima sumbangan sebanyak RM250 seorang, manakala 471 pelajar cemerlang SPM dari 17 buah sekolah (RM200 seorang).
Menurut Mohamad Fatmi, kerajaan Pusat sebelum ini telah pun melancarkan PPR sebanyak 1,000 unit di Wakaf Mek Zainab di sini dengan majlis pecah tanah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, permohonan untuk PPR tersebut masih dibuka dan orang ramai yang berkelayakan boleh mengemukakan permohonan mereka sehingga akhir April ini dan mula diproses pada Mei nanti.
"Kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) akan memastikan perumahan yang dibina bersesuaian dengan keperluan penduduk, mengambil kira persekitaran semasa di kawasan berkenaan. Ini bagi memastikan kawasan yang dibangunkan dengan PPR turut berpotensi dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan rakyat Kelantan terutama golongan muda tidak mudah dipengaruhi oleh sentimen pihak tertentu berhubung tuntutan royalti minyak yang didakwa hak negeri ini.
Pada hakikatnya kata Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu, isu berkenaan tidak timbul kerana rakyat Kelantan telah menikmati pemberian wang ihsan secara terus dan setakat ini sebanyak RM70 juta telah pun diagih kepada golongan sasar.
"Sebahagian wang ihsan itu disalurkan melalui pemberian hadiah kepada pelajar cemerlang dan mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi," katanya.
SUMBER DARI : Utusan Kelantan
No comments:
Post a Comment