Apa lagi yang rakyat Kelantan mahu demi masa depan negeri itu sekiranya tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak disambut sebaik mungkin pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.
Lawatan Najib kali ini dikatakan cukup bermakna malah memberi kesan positif bila lebih 50,000 orang hadir pada perasmian 'Program Jelajah Janji Ditepati' yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, Tunjung. Kota Bharu, pagi Ahad.
Ketika bersama penyampai stesen radio Kelantan FM Najib dengan jelas menunjukkan kesungguhan untuk membantu serta membina potensi rakyat Kelantan dalam pelbagai bidang dapat direalisasikan.
Secara terbuka dan berterus-terang PM berkata, “sebab ini semua dalam sistem demokrasi berparlimen kita berpaksikan kepada sokongan rakyat. Hari ini saya bentangkan kepada rakyat Kelantan... ini dia janji kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Kelantan. Terpulang kepada rakyat Kelantan, penilaian di tangan mereka, masanya akan tiba tidak lama lagi.”
Menurut Perdana Menteri, rakyat Kelantan mempunyai bakat, kebolehan dan kesungguhan untuk berjaya tetapi setakat ini walaupun ada kejayaan tetapi belum sampai ke tahap optimum.
Bagi merealisasikan agenda transformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan, Najib berharap akan mendapat sokongan dari rakyat Kelantan pada PRU akan datang.
“InsyaAllah kalau kita diberi mandat oleh rakyat Kelantan apabila kerajaan pusat dan kerajaan negeri datang dari parti yang sama, kita dapat selaraskan dasar-dasar kita untuk dijalankan bersama, tidak ada percanggahan maka saya yakin dan percaya pasti rakyat Kelantan dapat memperoleh manfaat jauh lebih besar lagi,” kata Najib.
Soal penerimaan rakyat Kelantan terhadap kepimpinannya, Najib merasakan rakyat Kelantan menerima secara positif terutama sekali dasar transformasi negara yang sedang diperjuangkan, sebab rakyat boleh melihat, menilai dan merasai bahawa dasar ini bermanfaat kepada mereka.
Ketika berucap diprogram itu, Najib membuka 'tawaran istimewa' tujuh projek besar pada rakyat Kelantan yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan tidak lama lagi.
Najib memberitahu projek itu seperti pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.
Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.
Beliau juga menegaskan tujuh projek itu akan juga dimasukkan dalam manifesto BN nanti dan ianya sebahagian dari manifesto.
Sambil bercakap dalam loghat Kelantan Najib berkata, “ambo hendak simpan. Nanti ambo datang lagi, ambo umum yang lain. Ambo simpanmodal.”
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Tawaran Najib itu mendapat tepukan bergemuruh dari puluhan ribu rakyat negeri itu yang membanjiri RTC sejak awal pagilagi.
Najib berkata, “rakyat Kelantan dahagakan pembangunan termasuklah tujuh projek itu dan kerajaan BN akan menunaikan janji tersebut demi kemajuan mereka. Kita kena pastikan bumi Kelantan, potensi rakyat Kelantan, potensi ekonomi Kelantan menjadi sepenuhnya. Ini janji kerajaan BN.”
PM dipasar Siti Khadijah |
Menceritakan tinjauan bersama peniaga di Pasar Siti Khadijah sebelum itu, Najib berkata, “pagi tadi ambo makan nasi dagang di Pasar Siti Khadijah, saya tanya (peniaga) apa berlaku perubahan di Kelantan. Mereka mahukan tranformasi seperti yang kita lakukan di peringkat nasional”
“Transformasi menyentuh jiwa rakyat dan dirasai rakyat. Kerajaan BN tidak melupakan untuk mendahulukan rakyat dalam tindakan kita,” jelasnya.
Menurut Najib, transformasi tidak boleh dilakukan hanya dengan slogan sahaja sebaliknya secara menyeluruh kepada rakyat seperti program pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan BN.
Beliau menegaskan hanya dengan transformasi sahaja, masa depan rakyat Kelantan boleh diubah dan diperbaiki, BN sentiasa meletakkan kemahuan tersebut sebagai sebahagian dasar perjuangan parti itu.
“Inilah yang dilakukan kerajaan, melakukan perubahan besar yang digelar transformasi.ambo lihat di bumi Kelantan juga akan kita lakukan,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu royalti minyak Kelantan, ianya akan diwakili pakar undang-undang dan wakil negeri ini yang diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
“Jawantankuasa ini akan berbincang satu persatu secara mendalam mengikut undang-undang dan perlembagaan secara telus. Kita tidak selindung dalam membuat keputusan yang adil terhadap rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kita tidak tipu sesen pun duit rakyat. Jangan kelentong rakyat, jangan belawok (menipu), nanti rakyat sedar satu hari nanti,” kata Najib.
Beliau berkata, “isu royalti minyak tidak perlu digembar-gemburkan atau menjadi mainan politik pihak tertentu untuk menimbulkan kemarahan rakyat negeri ini. Kerana, isu ini mempunyai asas dan asas inilah yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu bagi menyelesaikan dan menjelaskan isu tersebut.”
Pemimpin mesra rakyat |
Pada awal jam 8.00 pagi PM tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Baharu dan disambut lebih 3,000 orang ibubapa dan pelajar untuk Program Perhimpunan Pagi dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada tiga buah sekolah iaitu SK Sri Wakaf Baharu, SK Wakaf Baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.
Semasa berucap di situ, Najib menegaskan bahawa bidang pendidikan terlalu mahal harganya untuk dipolitikkan kerana ia merupakan bekalan kejayaan anak bangsa yang mencorakkan masa depan negara.
Menurut Najib, biar apa andaian pembangkang terhadap usaha kerajaan itu, namun kerajaan tetap berpendirian ia adalah untuk melahirkan generasi yang berpegang kepada keimanan dan ilmu yang tinggi.
Kata Najib, “inilah konsep yang diperjuangkan kerajaan dalam bidang pendidikan, ada kata ia sistem kebangsaan tetapi pengisiannya adalah untuk melahirkan anak bangsa yang beriman dan berilmu. Nak jadi khalifah macam mana nak makmur kalau tidak berilmu, kalau beriman tanpa ilmu tak mungkin boleh selesaikan.”
Ini adalah program pertama Najib menyampaikan bantuan berkenaan kepada pelajar.
PM memberitahu kerajaan pusat sama sekali tidak akan meminggirkan Kelantan dalam soal pendidikan dan berjanji negeri ini akan mendapat perhatian yang sama dengan negeri lain walaupun diperintah pembangkang sejak lebih 20 tahun lalu.
Kata PM, “slogan Membangun Bersama Islam yang diperjuangkan PAS di Kelantan tidak akan ke mana jika pengisian ilmu pendidikan tidak diutamakan pemimpin parti itu. Keagungan Islam pada zaman lampau adalah kerana ketinggian ilmu yang menyinari dunia keagungan zaman itu. Ia berpaksi kepada ilmu malah lebih jauh daripada itu.”
Najib menerangkan kerajaan Pusat memperuntukkan RM201 juta kepada Kelantan dalam memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini dalam tempoh sepanjang tahun ini.
“Saya datang untuk katakan perkara ini kepada rakyat Kelantan. Kita ada halatuju, kita ada pendirian, kita ada pegangan yang kita perjuangkan, sesuatu yang tidak boleh dipinggirkan atas perbezaan politik,” katanya.
Selepas mempengeusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan hampir dua jam, Perdana Menteri sempat menghadiri majlis minum petang bersama badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan termasuk pemimpin sekolah pondok.
Dalam pertemuan itu Najib memberitahu bahawa perjuangan BN untuk mengubah kepimpinan negeri Kelantan turut melibatkan tokoh agama seperti golongan ulama dan umarak.
Katanya, “tokoh agama ini merupakan pejuang mewakili suara masyarakat Kelantan yang sentiasa dahagakan perubahan tanpa mengetepikan pegangan agama.
“Kalau ingin melihat perubahan, inilah kumpulan yang akan mencipta sejarah. Perjuangan kita melibatkan gandingan baharu pemimpin-pemimpin bertaraf ulama dan umarak (pemimpin).
“Ulama-ulama ini yang tidak main politik. Mereka ini juruh (baik dan bagus), Insya-Allah mereka akan bersama-sama dengan kita. Inilah yang menjadi pegangan saya,” katanya.
“Teruskan usaha kita dengan ceramah-ceramah yang dibuat oleh golongan ulama muda mahu pun tua, dan guru pondok. Ini akan membantu kita dalam memberi penjelasan bahawa BN berada di atas landasan yang benar,” ujarnya.
SUMBER DARI www.agendadaily.com
No comments:
Post a Comment