UMNO Kelantan berharap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan lebih awal senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengumuman awal itu penting bagi membolehkan calon terlibat membuat persediaan lebih awal seperti melepaskan jawatan dan melaksanakan urusan keluarga."Pada prinsipnya UMNO Kelantan masih berharap cadangan itu dipertimbangkan ... terserahlah kepada pucuk pimpinan parti bila masa sesuai untuk umum senarai calon bagi negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "My Beautiful Malaysia" peringkat negeri Kelantan di rumah pangsa Buloh Kubu, di sini hari ini.
Mustafa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas demikian ketika ditanya bilakan BN Kelantan akan mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding pada PRU-13 nanti.
Katanya, BN Kelantan telah menyerahkan kepada peringkat pusat cadangan tiga nama bagi setiap kawasan merangkumi 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kawasan Parlimen.
"Bagi kita (BN) peringkat negeri tidak jadi masalah... sudahpun menyiapkan senarai nama calon itu kepada pucuk pimpinan, hanya tunggu bila masa yang sesuai diumumkan sebagaimana cadangan kita itu," katanya.
SUMBER DARI : Utusan
No comments:
Post a Comment