TUMPAT - Lebih 100 penduduk dan peneroka tanah di Pasir Pekan Hilir di sini, mengemukakan bantahan terhadap tindakan Kerajaan Pas Kelantan yang memindah milik tanah seluas 400 hektar di tebing Sungai Kelantan kepada bukan bumiputera.
Dalam demonstrasi aman pada pukul 11 pagi itu, penduduk kampung
terbabit turut mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya
memberikan mereka geran kerana mendakwa telah dijanjikan pemimpin itu sendiri
sekitar tahun 1990-an.
Seorang penduduk, Mohamad
Ismail, 60, berkata, pendedahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Orang Muda
Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) mengenai urusniaga tanah itu kelmarin
menggemparkan penduduk yang mendakwa tertipu dengan klausa tebus guna kepada
mereka ketika mula-mula mengambil tanah di situ.
"Dulu, selepas lama kami meneroka tanah ini, kerajaan negeri
datang memberitahu tanah ini akan diambil untuk tebus guna di mana ada
perancangan untuk membangunkannya.
"Masa itu memanglah kami tiada masalah, lagipun kerajaan
janji akan berikan kami geran tetapi sekarang apa yang berlaku ialah tanah ini
sebenarnya telah menjadi milik syarikat swasta bukan bumiputera," katanya
ketika ditemui semasa bantahan itu.
Presiden OMBAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad baru-baru ini
tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan Kerajaan Pas Kelantan dikatakan memindah
milik sebidang tanah di Lembah Sireh dekat sini kepada syarikat pemaju projek
bernilai RM2 bilion.
Menurut Wan Khairul Ihsan, dokumen itu jelas menyatakan tuan punya
tanah berkenaan ialah Liziz Standaco Sdn. Bhd. (Liziz Standaco), pemaju projek
pembangunan Lembah Sireh yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan mengikut
jadual.
Seorang lagi penduduk, Mohd.
Hussan Ishak, 62, yang telah membayar premium sebanyak RM1,000 ketika
membuat permohonan untuk memiliki geran tanah untuk kediamannya pada tahun 1984
mendakwa tanah itu kini telah dimiliki orang lain.
"Dulu kerajaan negeri janji semua orang akan dapat hak milik
tanah secara sah malah saya juga dijanjikan geran tanah di rumah saya.
"Tetapi tiba-tiba apabila saya ke Pejabat Tanah dan Galian
(PTG) baru-baru ini saya dapati rumah yang saya buat sendiri ini kini berada di
atas tanah orang," katanya dalam nada marah.
Sementara itu, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan
(MTRK), Azmi Ali yang
turut menyertai bantahan itu berkata, satu-satunya langkah yang boleh diambil
untuk mengembalikan tanah itu kepada rakyat adalah dengan menukar kerajaan.
"Tanah ini sudah dipindah milik dan Kerajaan Pas Kelantan
sudah menerima bayaran jadi rakyat yang teraniaya tidak boleh melakukan apa-apa
lagi.
"Cara terbaik adalah pada pilihan raya umum ini, kita
bersama-sama menukar kerajaan kerana penganiayaan yang dibuat Pas tidak boleh
dimaafkan sama sekali," tegasnya.
SUMBER DARI : Utusan
SUMBER DARI : Utusan
No comments:
Post a Comment